Monday 21 July 2014

Majlis Iftar Perdasama dan Dewan Perniagaan Sabah

MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERDASAMA DAN GABUNGAN DEWAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA SABAH  PADA 22 JULAI 2014/1435H 

Bismillahir Rahmannir Rahim. 

Assalammualaikum warahmatulahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
(Terimakasih Pengerusi Majlis)

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Musa Hj Aman Ketua Menteri Sabah

 -Warisan Harta

Yang Berusaha YDP2 Dewan Perniagaan(sebut nama)

Dif-dif Jemputan Para Pemimpin, Ketua-ketua Jabatan Datuk2/datin2/Tuan2 dan Puan2 yang saya hormati sekalian.

Syukur alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafakkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana pada bulan Ramadhan al-Mubarak yang mulia ini, kita masih terus diberikan kesempatan untuk menunaikan ibadah Puasa yang dituntut ke atas setiap umat Islam. Majlis pada petang ini kita adakan sebagai suatu usaha mengeratkan hubungan yang sedia terjalin di antara YAB Ketua Menteri Sabah, dengan para pemimpin dan ahli Dewan Perniagaan Negeri ini sepertimana yang biasa kita adakan pada setiap bulan Ramadhan.

Dari mana hendak ke mana,
Tinggilah rumput si dari padi;
Bersyukur kita pada Yang Kuasa,
Ditemukan puasa sekali lagi.

Anak gelama dalam lautan,
Mari dibawa di dalam raga;
Moga berpuasa genap sebulan,
hikmahnya pula jangan dilupa.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kedatangan semua hadirin khususnya YAB Ketua Menteri Sabah yang walaupun mempunyai jadual tugas dan tanggungjawab yang sangat padat, tetapi beliau masih komited untuk berbuka Puasa bersama kita pada petang ini. Terimakasih YAB Datuk Seri kerana tidak menghampakan harapan kami.

Pisang emas dari Bentan
Pisang lidi bertanding-tandingan
Hutang emas dibalas intan
Hutang budi tiada bandingan.

Untuk makluman para hadirin, majlis kita pada hari ini adalah “kongsi iftar” bersama Warisan Harta Sdn.Bhd atas saranan YAB Ketua Menteri. Keadaan ini terpaksa dilakukan kerana jadual kerja YAB begitu padat, justeru itu sebagai langkah proaktif, maka YAB meminta agar majlis ini digabungkan. Alhamdulillah, inilah tindakan berjimat-cermat namanya. Bukan saja dari segi kos tapi juga masa dan tenaga.

Hadirin yang dihormati, Bulan Ramadhan Al-Mubarak adalah bulan paling mulia. Dalam Surah Al-Baqarah Allah berfirman : شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ "Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an” (Ayat 185, Surah al-Baqarah) Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadhan,  terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)". (Hadith Sahih - Riwayat Muslim) Surah dan hadis ini memberi gambaran bahawa sesungguhnya orang-orang yang berjaya merebut peluang mengisi bulan Ramadhan dengan berbagai jenis ibadat - yang wajib dan yang sunat dan berjaya pula mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang, maka amalnya yang baik itu akan membawanya masuk ke syurga dan amalnya itulah juga yang menyelamatkannya dari hasutan syaitan dan dari azab neraka.

Begitulah mulianya bulan Ramadan ini yang kita nantikan ketibaannya setiap tahun. Namun Ramadhan kali ini membawa dugaan yang begitu besar kepada kita bila mana, sebuah pesawat penumpang Malaysia Airlines MH17 telah dikhianti di Utara Ukraine sehingga mengorbankan 298 nyawa yang tidak berdosa. Belumpun kering airmata kita menangisi kehilangan pesawat MH370, tragedi MH17 pula menimpa. Kesedihan tidak berakhir di sini, bila dalam kita bergembira menyambut ramadhan, saudara kita di Semenanjung Gaza pula, diserang bertubi-tubi oleh rejim Zionis sehingga mengorbankan beratus nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita. Dimanakah nilai kemanusiaan?

 Hadirin yang dihormati,

Dalam kesempatan ini, marilah kita sama-sama membacakan al-Fatihah kepada semua mangsa yang terkorban dalam musibah di atas semoga roh mereka dicucuri rahmat. Al-Fatihah. Kepada ahli keluarga mangsa, saya doakan semoga dapat bertawakal dan bersabar dengan dugaan ini. Sesungguhnya kesedihan anda semua dapat kami rasakan. Meskipun,

Kerat-kerat kayu di ladang
 Hendak dibuat hulu cangkul
Berapa berat mata memandang
Berat lagi bahu yang memikul.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri, serta hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini, saya mewakili semua ahli Dewan-Dewan Perniagaan Sabah, ingin mengucapkan setinggi-tinggi terimakasih di atas sokongan dan kerjasama YAB Datuk Seri Ketua Menteri yang sentiasa mendorong kami untuk maju ke hadapan, menjadi usahawan yang boleh berdikari tanpa mengharapkan tongkat dari kerajaan secara berterusan. Kestabilan politik kerajaan negeri di bawah teraju kepimpinan YAB Datuk Seri menjadikan tumpuan untuk pembangunan lebih terfokus, contohnya dengan penubuhan Sabah Development Corridor (SDC) yang antara tujuannya adalah untuk mempercepatkan pembangunan negeri. Alhamdulillah, dengan keupayaan kerajaan negeri di bawah teraju YAB Ketua Menteri dalam mewujudkan persekitaran ekonomi, sosial dan politik yang stabil, kita telah berjaya menjadikan Sabah sebagai negeri tumpuan pelabur. Jumlah pelaburan asing ke Sabah pada tahun lalu (2013) contohnya, telah meningkat sebanyak 275 peratus dengan nilai melebihi RM1 billion berbanding hanya RM226 juta pada tahun 2012.

Bagi menjana peluang-peluang perniagaan, Kerajaan negeri telah menyediakan beberapa pakej insentif pelaburan seperti pengecualian cukai dan stamp duty kepada beberapa projek di bawah Pembangunan Koridor Sabah yang dikendalikan oleh SEDIA (Sabah Economic Development & Investment Authority) seperti tourism project, down stream activities, production of Halal Food, Sabah Oil & Gas, Oil Palm dan sebagainya. Anda boleh merujuk laman web SEDIA untuk mengetahui lebih lanjut. (www.sedia.com.my) Justeru itu saya ingin menggesa para usahawan dan peniaga agar mencari dan mengenalpasti peluang-peluang niaga yang ada serta menambah ilmu kemahiran, supaya lebih bersiap siaga dalam menghadapi perubahan landskap perniagaan pada masa hadapan. Apa yang paling penting adalah persediaan daripada segi pengetahuan untuk bersaing dengan pihak lain. Kita kena berusaha lebih keras lagi memandangkan kita jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain yang sudah lama berniaga.

Meskipun ternampak seperti ada kemajuan atau perubahan positif bagi usahawan bumiputera, tetapi ia masih berada pada kadar perlahan berbanding kaum lain. Sebarang perubahan merupakan proses yang besar tetapi dengan skim-skim galakan dari kerajaan, keyakinan dan kepercayaan, saya yakin ia mampu dicapai. Terdapat tanggapan populist yang mengatakan usahawan bumiputera perlu mengubah budaya perniagaan mereka tetapi pada hemat saya, pendapat ini bersifat subjektif kerana tidak semestinya sesuatau bangsa atau kaum yang berjaya dalam perniagaan itu mengamalkan cara yang betul. Apa yang paling penting bagi setiap usahawan atau peniaga adalah berpegang kepada prinsip yang betul dan ikhlas dalam menjalankan perniagaan . Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik hari ini lebih mencabar, maka kita perlu melaksanakan transformasi di dalam perniagaan kita bagi mewujudkan penyertaan yang berdaya saing dan berdaya maju.

Saya tidak bercadang untuk berucap lebih panjang, memandangkan masa yang kita terlalu singkat. Masa berlalu begitu pantas di mana kita semua kini sedang berada di akhir bulan Ramadhan al-Mubarak yang merupakan bulan tarbiah dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Tarbiah Ramadhan yang datang sebulan dalam setahun merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai dan mesti digunakan peluang yang terbuka ini dengan sebaiknya agar diri kita termasuk golongan mereka yang bertaqwa kepada Allah. Pastikan diri kita bukan sahaja berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi kita juga mesti pastikan anggota kita yang lain turut berpuasa daripada melakukan perkara yang dilarang oleh agama.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat meneruskan ibadah puasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi. Syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa majlis pada malam ini kerana di dalam mengharungi ibadah puasa, anda semua tetap memberikan komitmen yang tinggi dalam menyatu idea, menyempurnakan kerja, menzahirkan upacara bagi memastikan program ini terlaksana dengan penuh tertib dan jayanya. Jika ada sebarang kekurangan, saya bagi pihak penganjur, terlebih dahulu ingin memohon maaf dan semoga menjadi iktibar kepada kami di masa hadapan.

Makan sirih berpinang tidak
Pinang ada di bawah tangga
Makan sirih mengenyang tidak
Tetapi tanda budi bahasa

Mangkuk jorong pingganpun jorong
Sejorong berisi buah jati
Dua tiga kata terdorong
Jangan di bawa masuk ke hati

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Wahrahmatulullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment