Saturday 9 November 2013

Pembentukan 1Negara Bangsa Malaysia

By Jayne Saidin

(Rencana ini saya tulis untuk thesis subjek Kenegaraan pada suatu masa dahulu) ~ Saya siarkan sekadar untuk renungan, apakah hipotesis kajian ini masih boleh digunapakai dalam realiti masyarakat majmuk Malaysia hari ini yang sudah mengalami de-polirisasi politik yang begitu divided.
Ke laut membeli barang
Itik bertelur dalam jeraminya
Laut terbakar menjadi terang
Setitik air memadaminya

BAB 1
PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan (1994: 924), negara-bangsa didefinisikan sebagai sebuah negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembinaan negara-bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dikalangan semua penduduk sesebuah negara (INTAN, 1980). Ia bererti mewujudkan sentimen satu bangsa dan satu negara serta melahirkan keperibadian bangsa (Faizal Othman, 1993).

Dalam konteks pembentukan  satu negara-bangsa Malaysia, terdapat tiga faktor yang mendominasi perbincangan iaitu faktor politik, ekonomi, dan sosial. Mengikut Ranjit (1996), faktor politik dilihat dari sudut penggabungan parti-parti politik pelbagai kaum melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional. Kerjasama dan pakatan politik pelbagai kaum dalam Barisan Nasional telah menghasilkan kestabilan politik dan keamanan di dalam negeri. Faktor politik juga merupakan ciri asas ke arah mempercepatkan agenda pembinaan negara-bangsa ini. Kestabilan politik menjadi prasyarat kepada pembangunan dan kepesatan ekonomi sesebuah negara. Secara umumnya terdapat perbezaan persepsi antara individu di dalam melihat kepada faktor ini. Perbezaan persepsi ini berlaku kerana di dalam masyarakat majmuk yang dicirikan oleh kewujudan berbagai-bagai unsur perbezaan menghasilkan kehendak yang berbeza didalam melihat sesuatu isu. Seterusnya ianya menghasilkan perbezaan falsafah dalam rupa pembinaan negara-bangsa dan cara-cara mencapainya. Melalui kajian dan penulisan, didapati perbezaan persepsi tentang negara-bangsa melalui faktor politik wujud berdasarkan kaum dan wilayah.

Dari segi faktor ekonomi, perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan perkara yang sering dikaitkan dengan pembinaan negara-bangsa Malaysia. Selepas merdeka, keadaan ekonomi rakyat Malaysia pada masa itu adalah diidentifikasikan dengan sesuatu kumpulan etnik. Secara umumnya, jika terdapat kumpulan etnik yang diindentitikan sebagai menguasai sesautu bidang, ianya pasti menimbulkan perasaan cemburu dan syak wasangka dan ini pastinya mencacatkan proses pembinaan negara-bangsa. Pudarnya pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi secara tidak langsung menguatkan lagi hubungan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Faktor sosial yang mempengaruhi pembinaan negara-bangsa Malaysia pula merangkumi peranan-peranan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan. Melalui perkara-perkara ini banyak perbincangan yang dapat dibuat bagi menghasilkan satu identiti nasional negara-bangsa Malaysia yang dibentuk. Pembinaan negara-bangsa merupakan suatu proses mewujudkan semangat kenegaraan atau perasaan kekitaan. Melalui takrifan ini faktor sosial merupakan faktor penting untuk mewujudkannya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia menyukarkan pembentukan satu identiti nasional namun titik pertemuan antara kepelbagaian kaum ini masih tidak mustahil dapat dilaksanakan.

Agenda pembinaan negara-bangsa menjadi lebih penting kepada negara ini kerana mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Di Malaysia, setiap kaum mempunyai persepsi atau tanggapan tersendiri terhadap kaum lain dan ianya masih lagi dipisahkan dengan panggilan bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan bangsa-bangsa lain. Walaupun perhubungan di antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia bertambah baik namun pemisahan sosial masih wujud. Ini pastinya akan memperkukuhkan sentimen perkauman. Pendekatan yang dapat merapatkan jurang akan meningkatkan sikap penerimaan yang lebih terbuka dan saling mempercayai antara kaum. 
 
Baca seterusnya di sini Ranting By Jayne

No comments:

Post a Comment